Pemuda Umno Pulau Pinang kecewa dengan tindakan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang membuat laporan polis berhubung dakwaan ancaman yang diterimanya semasa kekecohan Himpunan Hijau di Padang Kota, Pulau Pinang pada Ahad lalu.

"Tindakan Lim ibarat orang tua nyanyuk yang cuba berebut botol susu dengan kanak-kanak,” katanya.
Namun, Shaik Hussein mendakwa beliau mengalu-alukan siasatan segera dan menyeluruh terhadap pihak yang bertanggungjawab mencetuskan huru0hara selepas ucapan ringkas Lim pada perhimpunan tersebut.
Pada kejadian Ahad lalu, kira-kira 50 penyokong pro-Lynas, yang sebahagian besar mereka terdiri daripada ahli-ahli Pemuda Umno dan kumpulan pendesak Melayu, PERKASA didakwa menggangu perhimpunan anti-Lynas di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade, Pulau Pinang ketika Lim sedang berucap.
Ia disusuli dengan asakan kumpulan itu yang terus mencaci Lim, termasuk menunjukkan kasut ke arah ketua menteri. Orang ramai kemudian cuba membuat rantaian manusia bagi menghalang Lim daripada diserang dan dalam kekecohan itu dua wartawan dilaporkan dipukul.

Menurut Shaik Hussein, beliau yakin hasil siasatan akan membuktikan bahawa Lim yang sebenarnya mencetuskan ketegangan kerana semasa di atas pentas beliau mengarahkan ahli Umno supaya diam.
"Kenyataan Lim menyimpang daripada tujuan sebenar Sudut Pidato diadakan, ia sepatutnya menjadi ruang atau tempat untuk kebebasan bersuara."
Beliau kemudian mencadangkan kepada Lim agar mempelajari daripada bekas Ketua Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon mengenai cara-cara menerajui pentadbiran negeri.

"(Lim) tidak perlu belajar dari bapanya (Lim Kit Siang) yang hanya tahu menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat," katanya dalam nada menyindir.malaysiakini